Thursday 11 October 2012

1. Kemahiran Lisan


1.1 PENGENALAN


Lisan merupakan satu daripada kemahiran yang penting dalam menjadi asas dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Jika ditinjau dengan teliti, dalam lisan terdapat dua aspek kemahiran kecil iaitu Kemahiran Mendengar dan Kemahiran Bertutur. Kanak-kanak mula menguasai bahasa dari apa yang didengar dan dialaminya. Dia akan cuba meniru serta menuturkannya berulang-ulang.


1.2 KEMAHIRAN-KEMAHIRAN ASAS DALAM LISAN

KEMAHIRAN MENDENGAR

Apabila seseorang itu mendengar, dia seharusnya dapat mengecam, mengenal dan mengamatinya; Iaitu mengenal dan mendiskriminasi bunyi-bunyi bahasa yang berlainan. Kemahiran mengenal dan mendiskriminasikan bunyi-bunyi ini bergantung kepada faktor-faktor fisiologi serta neurologi pendengaran setakat mana kadar pendengarannya dan pengamatan pendengarannya. Secara ringkasnya seseorang itu boleh dikatakan mempunyai kemahiran mendengar jika ia boleh:

- Mendiskriminasi bunyi-bunyi bukan bahasa.
- Mendiskriminasikan unit-unit bunyi bahasa.
- Memahami perkataan, konsep dan kemahiran mendengar perkataan.
- Memahami ayat serta lain-lain elemen linguistik bahasa.
- Mendengar secara kritikal.
- ” auding”
- Mengikut arahan.
- Memahami urutan atau sekuan.
- Mengingat kembali.
- Menentukan idea utama / terpenting.
- Membuat inferen dan penyeluruhan atau kesimpulan.


KEMAHIRAN BERTUTUR

Satu lagi kemahiran yang tergolong dalam kemahiran lisan ialah kemahiran bertutur iaitu kemahiran menyebut dan membunyikan bunyi-bunyi bahasa dengan pengujaran kata-kata atau ayat dalam intonasi, nada (tekanan suara ), jeda serta helaan yang betul. Unsur-unsur ilmu linguistik yang dinamakan ”suprapenggalan” ini merupakan aspek yang nyata dan penting dalam lisan. Bagi setengah-setengah bahasa, perubahan kepada unsur-unsur ini akan melibatkan perbezaan maksud atau makna.

Mengenal pasti intonasi yang berbeza-beza ini amat penting bagi mewujudkan suasana pertuturan yang baik, licin dan lancar. Oleh itu aspek ini juga perlu diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran.


1.3: KEPENTINGAN LISAN


Manusia mencipta lambang-lambang pertuturan sebelum mencipta lambang-lambang tulisan. Dengan ini kita harus mengutamakan gerak kerja lisan sebelum mengajar kanak-kanak membaca dan menulis.

Perkembangan bahasa kanak-kanak menunjukkan bahawa kanak-kanak mula mendengar, mengajuk dan seterusnya bercakap. Apabila mereka sudah biasa dengan bahasa itu barulah diperkenalkan lambang-lambang tulisan supaya mudah mereka menginterpretasikan lambang-lambang pertuturan.

Kanak-kanak yang telah menguasai bahasa lisan akan mudah melahirkan perasaan dan mengeluarkan pendapat atau buah fikiran. Dengan itu mereka akan lebih berani, sikap dan rajin bergaul dengan kanak-kanak lain.

Teori psikologi mengesahkan bahawa adanya perhubungan antara bahasa dengan pemikiran. Pemikiran melibatkan lambang-lambang tertentu, dengan demikian jika seseorang itu tidak menguasai perbendaharaan kata yang luas, sewajarnya ia tidak dapat mengeluarkan pendapat dengan jelas.

Bahasa Melayu khususnya berbeza dari segi pengucapan, intonasi dan tekanan suara. Kebiasaannya penggunaan bahasa lisan menguntungkan pembinaan bahasa yang baik.

Struktur ayat, pembinaan ayat dan aspek-aspek nahu dalam satu-satu bahasa adalah dipelajari secara tidak langsung. Kebiasaannya penggunaan nahu yang betul secara lisan akan membina asas bahasa yang kukuh.

Pada prinsipnya guru dikehendaki memperbanyakkan kegiatan lisan di peringkat awal persekolahan. Melalui kegiatan lisan yang banyak di peringkat awal akan menambahkan dan memperkayakan perbendaharaaan kata kanak-kanak. Maka dengan ini memudahkan kanak-kanak pemulihan untuk belajar.


1.4: PENGESANAN DAERAH KELEMAHAN LISAN


Guru boleh mengesan kelemahan murid dengan mengamati setiap sebutan dan intonasi pertuturan mereka ketika menjalankan gerakerja / aktiviti lisan.

Guru boleh membuat pengesanan khusus dengan merangka, membina serta melaksanakan ujian lisan yang antara lain akan menguji keupayaan murid untuk:

- Mengamati bunyi-bunyi bukan bahasa.
- Mengamati bunyi-bunyi bahasa dan lain-lain elemen linguistik bahasa.
- Memahami konsep dan maksud perkataan / ayat.
- Melakukan ”auding” yang merangkumi aspek-aspek pengamatan pendengaran.
- Mendengar secara kritikal.

Guru boleh mengesan atau menguji kemahiran lisan murid dengan menganalisa rakaman-rakaman yang dibuat berdasarkan kepada sebutan-sebutan atau pengujaran murid-murid.

Guru juga boleh menguji kefahaman murid mengenai perkara-perkara yang didengarnya dengan menyediakan item-item soalan yang khusus berkaitan ”auding”.



1.5: CARA MEMPERBAIKI KELEMAHAN-KELEMAHAN LISAN

1.5.1. Guru sendiri menjadi model sebagai penutur yang baik untuk ditiru oleh murid-murid.

1.5.2. Guru mempergiatkan lagi gerakerja / aktiviti lisan untuk murid.

1.5.3. Guru memperbanyakkan latih tubi sebutan dan intonasi terutama kelemahan khusus murid-murid.

1.5.4. Guru mempelbagaikan aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran..

1.5.5. Guru menjalankan peneguhan serta pengukuhan serta merta.

1.5.6. Guru menggabungjalinkan lisan dengan kemahiran bacaan dan tulisan dalam pengajaran dan pembelajaran.

1.5.7. Guru mewujudkan situasi-situasi yang menggalakkan murid berinteraksi melalui susun atur tempat duduk, pertandingan dan sebagainya.



1.6: PERKARA-PERKARA PENTING DALAM PENGAJARAN LISAN

1.6.1. Semasa guru menyampaikan pelajaran lisan, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian :

1.6.1.1. Penutur yang dihasilkan hendaklah secara spontan, bernas dan mudah. Pengujaran yang baik hendaklah jelas dan lantang, tersusun rapi dan cukup untuk didengar oleh pendengar yang ada.

1.6.1.2. Pilih, susun dan gunakan topik-topik yang ada dalam pengetahuan sedia ada murid.

1.6.1.3. Adakan rangsangan yang membolehkan kanak-kanak bercakap mengenai perkara-perkara tertentu.

1.6.1.4. Semua pengajaran lisan hendaklah dibuat secara formal.

1.6.1.5. Galakkan murid-murid mengeluarkan idea-idea baru serta memilih bahan-bahan mereka sendiri.

1.6.1.6. Ketika menyampaikan pengajaran, penekanan harus diberi kepada darjah pencapaian kanak-kanak dalam pelajaran itu dengan :

o Memastikan setiap kanak-kanak diberi peluang mengambil bahagian.
o Memastikan hanya seorang sahaja yang bercakap ketika sesuatu ketika.
o Memastikan setiap murid yang mendengar apa yang dinyatakan oleh sipenutur.

1.6.1.7. Peniruan sebutan oleh murid-murid mestilah lebih kerap dan bukan hanya untuk sekali dua sahaja.

1.6.1.8. Ulang pelajaran (latih tubi ) yang terdahulu dalam pelajaran-pelajaran yang berikutnya untuk memperkukuhkan ingatan murid-murid.

1.6.1.9. Semasa murid-murid meniru sebutan, guru mestilah mengamatinya dan jika didapati mereka melakukan kesalahan, pembetulan hendaklah dibuat secara spontan.

No comments:

Post a Comment